MD AZRIN ROSLY | 11 Januari 2016 12:31 AM
SIBU 10 Jan. - Seorang pengusaha pub maut manakala teman wanitanya yang merupakan warganegara China cedera akibat ditembak selepas menikmati makan malam di sebuah kedai di Jalan Long Bridge Off Jalan Lanang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.09 malam, mangsa dikenali sebagai Ting Meng Min, 30, maut di hospital manakala teman wanitanya dikenali Xiao Fen.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Kamal Kordi berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 11.25 malam daripada seorang rakan mangsa yang melaporkan kedua-dua rakan mereka telah ditembak.
Katanya, mangsa lelaki mengalami kesan tembakan di dada dan bahu kiri serta belakang badan manakala wanita yang merupakan warganegara China cedera di bahu dan pergelangan tangan kiri.
“Kejadian berlaku setelah mereka selesai makan apabila sebuah pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux berwarna putih tiba-tiba berhenti mengejut berdekatan kedai itu.
“Seorang rakan mangsa yang baru hendak bergerak mengambil kereta nampak pemandu 4WD itu mengangkat senapang dan melepaskan tembakan ke arah mangsa dua ke tiga kali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakan mangsa yang melihat tembakan itu juga mengeluarkan pistol dan melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan berkenaan yang dikatakan mungkin mengenai tiga suspek di dalamnya.
“Selepas itu, kenderaan itu terus memecut keluar ke Jalan Lanang dan melarikan diri.
“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tiga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pengusaha-pub-maut-teman-wanita-cedera-ditembak-1.178255#sthash.WHcWO0Bp.dpuf