MOHD. FIRDAUS ISMAIL | 09 September 2016 9:13 PM
PULAU PINANG 9 Sept. - Seorang lelaki yang aktif melakukan jenayah ragut dengan menyasarkan wanita membawa beg tangan berjenama sejak awal tahun ini tumpas apabila ditahan polis selepas dilanggar dengan kereta oleh orang awam.
Dalam kejadian pukul 9 malam Rabu lalu, suspek yang berusia 26 tahun baru meragut seorang wanita di hadapan sebuah pasar raya di Bandar Baharu Farlim, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berjaya ditahan polis ketika cuba melarikan diri.
“Pemeriksaan di rumahnya di Paya Terubong menemukan pelbagai beg tangan berjenama, 10 set telefon bimbit, jam tangan, kamera digital serta puluhan kunci dan kad bank yang dipercayai diragut dalam 15 kes yang dilaporkan sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Mior Faridalathrash memberitahu, suspek juga bertindak agresif apabila pernah menendang motosikal yang dinaiki seorang wanita berusia 40-an di Sungai Nibong beberapa bulan lalu sehingga menyebabkan mangsa patah tangan.
Berdasarkan soal siasat, katanya, suspek mengaku melakukan tujuh kes ragut namun polis percaya jumlah sebenar mungkin lebih banyak berdasarkan penemuan barang-barang di rumah suspek
Tambahnya, kesemua kes ragut berkenaan melibatkan kerugian lebih RM15,000.
“Suspek yang tidak bekerja itu mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan narkotik dan telah direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/peragut-beg-tangan-berjenama-tumpas-1.380787#sthash.BiYzk6nl.dpuf
No comments:
Post a Comment