Tiga rakyat Malaysia yang ditahan kerana cuba menyeludup dadah jenis Methamphetamine dipertontonkan dalam satu sidang akhbar di Lombok, Indonesia baru-baru ini. AGENSI
JAKARTA 9 Ogos – Sebanyak tiga orang rakyat Malaysia termasuk seorang wanita hamil ditahan oleh pegawai kastam dan eksais di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok kerana cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 1.9 kilogram ke negara ini.
Menurut laporan Jakarta Post yang tidak menyebut bila penahanan itu dibuat, semua tertuduh menyembunyikan bungkusan dadah tersebut di dalam seluar.
“Kami menahan mereka tidak lama selepas tiba di lapangan terbang menerusi penerbangan AirAsia. Methamphetamine bernilai Rp3.5 bilion (RM1 juta) turut dijumpai bersama mereka,” kata Ketua Pegawai Kastam dan Eksais Mataram, Himawan Indarjono.
Tertuduh dikenali sebagai Koo Jia Jiat, 21; Leslie Chung Wai Nam, 24; dan Wong Yin Ching @ Winnie, 21, yang didapati hamil.
Dadah tersebut telah diserahkan kepada Polis Nusa Tenggara Barat (NTB).
Menurut Himawan lagi, cubaan penyeludupan dadah itu berjaya dipatahkan selepas pegawai kastam dan eksais di terminal ketibaan curiga dengan pergerakan ketiga-tiga tertuduh.
“Bagasi mereka melepasi pemeriksaan imbasan. Bagaimanapun, pergerakan mereka agak mencurigakan, jadi mereka perlu menjalani pemeriksaan badan.
“Kami kemudian menemukan bungkusan dadah tersebut di celah seluar dalam mereka,” kata Hirmawan.
Selain itu, beliau berkata, ketika suspek disoal siasat, mereka mengaku pernah menyeludup dadah methamphetamine ke Lombok beberapa kali dan kali terakhir dilakukan pada bulan lalu.
Sementara itu, Pengarah Narkotik Bahagian NTB, Agus Pradjito berkata, pihaknya masih lagi menyiasat kes tersebut.
No comments:
Post a Comment