Rugi RM45.5 juta dalam tempoh 6 bulan
NURAINA HANIS ABD. HALIM | 11 Jun 2016 1:45 AM
KUALA LUMPUR 10 Jun - Akibat dahagakan cinta lelaki, sebanyak 1,039 wanita di seluruh negara terus menjadi mangsa sindiket Love Scam dalam tempoh 1 Januari hingga kelmarin.
Jumlah kerugian yang dicatatkan pula adalah sebanyak RM45.5 juta.
Sama seperti sebelum ini, sindiket terus menyasarkan golongan wanita yang berkerjaya, bujang serta kesunyian melalui laman sosial seperti Facebook.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, mangsa terpedaya dengan janji dan kata-kata manis ‘teman lelaki’ Facebook mereka meskipun tidak pernah bersua muka.
Menurutnya, mangsa mudah mempercayai sindiket serta sanggup melakukan apa sahaja.
“Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 272 mangsa dengan RM14 juta kerugian diikuti Kuala Lumpur dengan 145 kes dan RM9.5 juta kerugian.
“Johor pula ketiga tertinggi dengan 126 mangsa dan jumlah kerugian sebanyak RM2.8 juta manakala di Pulau Pinang sebanyak 92 kes namun jumlah kerugiannya lebih banyak iaitu RM3.9 juta,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Roslan, walaupun banyak pendedahan mengenai Love Scam dibuat melalui media, jenayah berkenaan terus meningkat dengan jumlah kes serta kerugian yang ketara.
“Golongan wanita dinasihatkan agar berfikir panjang dan jangan terlalu berlembut hati untuk membantu masalah kewangan kenalan yang dikenali di laman sosial sehingga mudah terpedaya dengan cinta palsu sindiket Love Scam,” ujarnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang wanita berusia 55 tahun kerugian RM1.7 juta dengan menjual tanah pusaka kerana percayakan cinta kekasihnya yang dikenali melalui Facebook dan kononnya berasal dari Amerika Syarikat
Mangsa yang masih bujang itu telah menyerahkan kesemua hasil gadaian tanah tersebut dengan 19 transaksi pembayaran atas talian untuk mendapatkan hadiah dikirim lelaki itu namun terpaksa menjelaskan pembayaran cukai penghantaran kepada syarikat kurier.
Wanita yang tidak bekerja itu turut dihubungi seorang ahli sindiket yang menyamar sebagai wakil syarikat kurier bagi meyakinkan mangsa namun dia hanya menyedari ditipu setelah pembayaran dibuat dan kekasihnya menyepi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/1-039-mangsa-i-love-scam-i-1.341050#sthash.AkOuq0ER.dpuf
No comments:
Post a Comment