Gambar fail merakamkan sebuah kapal kargo milik Silk Way Airlines. AGENSI
KABUL 19 Mei – Sebuah pesawat kargo Azerbaijan terhempas di wilayah Helmand, selatan Afghanistan semalam, mengorbankan tujuh daripada sembilan penumpang.
Jabatan penerbangan Azerbaijan (DMAA) memaklumkan, jet milik Silk Way Airlines itu terhempas pada pukul 6.30 petang waktu tempatan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Dwyer di Helmand.
Helmand menempatkan sebuah pangkalan tentera Afghanistan dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut agensi berita Azerbaijan, Azar Tac, pesawat kargo jenis AntonovAn-12 itu dinaiki sembilan penumpang terdiri daripada lima warga Azerbaijan, tiga Ukraine dan seorang rakyat Uzbekistan.
Bagaimanapun dua rakyat Ukraine terselamat dalam kejadian itu.
DMAA menjelaskan, sebuah suruhanjaya yang menyiasat nahas itu akan terbang ke Afghanistan pada hari ini.
Tambahnya, insiden itu merupakan nahas kedua melibatkan pesawat milik Silk Way Airlines di Afghanistan. – REUTERS
No comments:
Post a Comment