MELAKA – Seorang lelaki menemui ajal dalam keadaan cukup pilu apabila van yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori sampah di Batu 10 Jalan Tangga Batu di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.32 pagi itu, Ezrie Abu Samah (gambar kecil), 36, yang berasal dari Tanjong Kling meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada muka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd. Kamal Zainal berkata, mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat katering dipercayai baru pulang menghantar rakan sekerja di Kem Terendak dan sedang menghala ke Bukit Rambai.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan lori sampah.
“Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan telah meninggal dunia sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dua lelaki yang berada di dalam lori sampah hanya mengalami cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya sampai di lokasi kira-kira 11 minit kemudian.
“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan mengopak bahagian pintu menggunakan alat pemotong dan pemegang,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz48CLTugaR
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment