DIN AHMAD menunjukkan sebahagian daripada barang yang dirampas selepas kejadian pecah rumah di Kampung Sin Lik, Yong Peng, dalam sidang akhbar Batu Pahat, Johor, semalam.
BATU PAHAT 3 April – Pecah rumah kerana sakit hati.
Kedengaran seperti melucukan, tetapi itu hakikat apabila dua lelaki yang berdendam dengan rakan mereka bertindak memecah masuk rumah mangsa dan melarikan kesemua barangan dalam kejadian di Kampung Sin Lik, Yong Peng, di sini.
Dalam kejadian pada 28 Mac lalu, mangsa yang meninggalkan rumah selama sehari tergamam apabila melihat rumahnya kosong dan berselerak dipercayai dimasuki penjenayah.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa kerugian hampir RM15,000 ekoran pelbagai barangan termasuk televisyen, komputer riba, telefon bimbit, penapis air, alat pemancar imej dan joran dilarikan suspek.
Menurutnya, seorang suspek dipercayai berdendam dengan mangsa kerana dia tidak dilawati sepanjang ditahan di sebuah penjara berhubung kes jenayah lampau.
“Bagaimanapun kita menemukan semula barangan yang dicuri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment