Search This Blog

Saturday, February 13, 2016

Warga emas dikhuatiri lemas

Penampang: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika keluar memukat di laut, kira-kira 500 meter dari Taman Villa, Putatan di sini, jam 6 petang kelmarin.
Wahid Sapari, 67, dipercayai terjatuh ke laut selepas mengalami pening dan sakit dada sebaik selesai memasang pukat.
Isterinya, Mariam Muktaman, 55, berkata, Wahid keluar rumah jam 3 petang kelmarin dan memaklumkan mahu memukat di kawasan berhampiran.
“Biasanya, suami pulang sekitar jam 8 malam. Semalam (malam kelmarin), seorang jiran yang juga nelayan memaklumkan suami mungkin terjatuh ke laut.
“Menurut jiran, kira-kira jam 6 petang, dia terserempak dan turut menegur suami ketika dalam perjalanan pulang ke jeti. Suami memaklumkan kepada jiran yang dia sakit dada dan pening. Jiran kemudiannya meneruskan perjalanan ke jeti.
“Bagaimanapun, selepas bergerak seketika, jiran menoleh ke belakang sebelum mendapati suami tiada di perahu. Jiran bergegas ke perahu suami namun gagal menemuinya sebelum pulang mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut Mariam, dengan bantuan penduduk kampung, mereka sekeluarga turun semula ke laut untuk mengesan Wahid namun ia menemui jalan buntu.
“Suami pernah mengadu sakit dada dan jarang makan. Biasanya, dia hanya membawa air kopi untuk bekalan ketika memukat namun semalam (kelmarin), dia tidak membawa bekalan air,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Mohammad Akramin Sakirun berkata, setakat jam 6 petang semalam, mangsa masih gagal ditemui.
“Kami menerima aduan berkaitan kejadian jam 10.48 pagi tadi (semalam) sebelum memulakan usaha mengesan mangsa. Pencarian akan diperluaskan sehingga ke perairan Tanjung Aru dan sekitar pulau berhampiran mengikut arah tiupan angin,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 6:36 AM


AnggotaJPAM menjalankan operasi mencari dan menyelamat nelayan di perairan hadapan Taman Teluk Villa, Putatan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114674#sthash.JWVAw7l5.dpuf

No comments:

Post a Comment