Muhammad Shazarul Ikhmal Rospisham, 20, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah me­lakukan peras ugut itu terhadap bekas kekasihnya yang berusia 19 tahun di Hotel Double Tree By Hilton, Jalan Tun Razak, di sini pada pukul 12 tengah hari, 10 Januari lalu.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mengikut fakta kes yang dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly, mangsa yang juga pengadu dalam kes itu berada di hotel tersebut ketika tertuduh menghantar gambar bogel milik mangsa melalui mesej menerusi aplikasi WeChat.
Tertuduh mendakwa mempu­nyai 20 keping gambar mangsa yang bekerja sebagai pelayan bankuet dan telah meminta wang sebanyak RM200 bagi setiap keping gambar.
Lelaki itu turut didakwa akan menyebarkan gambar bogel tersebut sekiranya mangsa gagal memberikan wang kepadanya.
Tertuduh telah ditahan oleh pihak polis keesokannya dan dia menyerahkan seunit telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Note 3, sebelum dibawa ke Balai Polis Jalan Tun Razak untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, peguam, Zulkif­li Awang yang mewakili tertuduh memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara sebaliknya hukuman denda minimum terhadap anak guamnya memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya dan dia merupakan anak yang amat bertanggungjawab terhadap keluarganya.
“Tertuduh masih di bawah tanggungan ayahnya memandangkan tertuduh masih belum bekerja dan ingin menyambung pelajaran ke Kolej Automotif. Ayahnya hanya seorang pemandu lori berpendapatan hanya RM1,300 sebulan dan perlu menanggung keluarga termasuk empat adik-beradiknya yang masih bersekolah,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar dapat memberikan pengajaran terhadap tertuduh.