Search This Blog

Saturday, February 13, 2016

Sasar padam tiga kelompok api

Baling: Kebakaran kira-kira empat hektar hutan di puncak Gunung Baling, dekat sini, sejak Khamis lalu, berkurangan apabila hujan lebat, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Nazri Zakaria, berkata pihaknya menggunakan khidmat helikopter Agusta AW 139 untuk operasi pemadaman hari ini.
Beliau berkata, 40 anggota bomba termasuk 13 ahli Pasukan Khas Unit Udara dan penduduk kampung memulakan operasi pada kira-kira 8 pagi ini.
“Biarpun api dah kurang kerana hujan lebat kira-kira 30 minit, ada beberapa kawasan dipercayai tidak terkena air. Oleh itu, Agusta AW 139 digunakan untuk mengangkut air.
“Kita menjangkakan api dapat dipadam sepenuhnya hari ini dengan sumber air yang mencukupi," katanya.
Menurutnya, operasi memadam kebakaran, semalam, pasukannya menggunakan pesawat Bombadier CL415 dan Agusta milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Katanya, pesawat itu melakukan enam siraman 36,000 liter air dengan sumber diambil di Tasik Beris, Sik selain di Pantai Merdeka, Sungai Petani.
"Kita akan memadam tiga kelompok api yang masih terbakar di puncak gunung sehingga keadaan pulih kerana gunung berkenaan adalah hutan simpan yang perlu dipelihara," katanya.
Kebakaran di puncak Gunung Baling pada ketinggian 400 meter dipercayai berpunca daripada kecuaian pendaki yang melakukan pembakaran sampah sehingga merebak.
Sementara itu, Pegawai Daerah Baling Dzohir Md Zain, berkata Gunung Baling ditutup kepada pendaki buat sementara waktu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 12:54 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114707#sthash.EM2azD2d.dpuf

No comments:

Post a Comment