Dalam kejadian pada pukul 8.15 pagi itu, usahawan terbabit yang berusia 34 tahun sedang bersarapan di sebuah restoran bersama rakannya sebelum suspek melarikan wang berkenaan.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, mangsa sebelum itu telah meminta suspek untuk singgah di sebuah restoran di Luyang untuk sarapan sebelum pergi ke pejabat di Kolombong.
Menurutnya, mangsa kemudian mengarahkan suspek membawa wang berkenaan yang disimpan di dalam beg bimbit ke pejabatnya.
“Selepas sarapan, mangsa telah dihantar rakannya ke pejabat bagi menghadiri mesyuarat dengan pengurus projek. Selesai mesyuarat, mangsa mendapati beg bimbit yang dibawa pemandunya tiada di pejabat,” katanya di sini hari ini.
Chandra memberitahu, mangsa kemudian cuba menghubungi suspek berulang kali namun gagal kerana telefon bimbit milik pemandunya itu dimatikan.
Ujarnya, mangsa segera pulang ke rumah dan mendapati kenderaan Toyota Alphard miliknya diletakkan di garaj namun beg bimbit berisi wang tunai tersebut hilang.
Jelasnya, pihak polis turut memburu seorang lelaki dipercayai pemandu peribadi mangsa berusia awal 30-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri harta milik majikan.
“Orang ramai yang turut mengenali suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Zulfairie di talian 013-2618487,” katanya.