Shahrul Anuar Abdul Aziz, 23, didenda RM2,000 atau penjara sebulan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu didakwa menggunakan dadah tersebut ke dalam badannya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, kira-kira pukul 4.15 petang, 12 Julai 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan juga perintah pengawasan di bawah Seksyen 38B akta yang sama selama tempoh minimum dua tahun dan maksimum tiga tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne yang me­ngendalikan pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam-peguam, Ihsan Zakaria dan Mohammad Yahya Zakaria yang mewakili Shahrul Anuar pula memohon hukuman ringan berbentuk denda dan bukan penjara kerana anak guamnya telah kehilangan pekerjaan selepas dihadapkan ke mahkamah sebelum ini dan perlu menanggung kedua-dua ibu bapa yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pihak polis telah melakukan ujian saringan awal dan mendapati air kencing tertuduh mengandungi dadah jenis methamphetamine sebelum sampelnya dihantar ke Makmal Dadah dan Penyelidikan Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur untuk dianalisis.
Sementara itu, semasa perbicaraan di mahkamah berasingan, seorang pegawai polis yang menjadi saksi pendakwaan kesembilan memberitahu bahawa beliau telah menerima laporan polis serta tangkapan seorang lelaki Melayu berhubung kejadian mencuri di Plaza Low Yat, Julai tahun lalu.
Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Sharil Mohamad, 28, memaklumkan, beliau telah melakukan siasatan awal dengan menyoal tertuduh dan memanggil pengadu untuk merakam percakapan.
“Keesokannya, satu mesyuarat telah diadakan dan saya telah menerima arahan untuk menghantar kertas siasatan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan De­nis Venoth,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Malini Anne.
Shahrul Anuar dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencuri telefon bimbit Lenovo S860 milik Techasia Boutique di premis tersebut di Lot UG, K021, Tingkat UG, Plaza Low Yat, Bukit Bintang di sini pada pukul 4.47 petang, 11 Julai tahun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Nur A’minahtul Mardiah bersambung 29 Februari ini.