Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu ke­nyataan hari ini menyatakan, beliau menggunakan budi bicaranya selaku pendakwa raya untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapi oleh Azmi di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 selepas meneliti keterangan semua saksi pendakwaan.
Dengan keputusan itu, pensyarah undang-undang tersebut bebas daripada dua pertuduhan menghasut yang dihadapinya selepas dibicarakan selama sehari di Mahkamah Sesyen yang mendengar keterangan empat saksi pendakwaan.
Ujarnya, kuasa budi bicara itu termaktub di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Demi menegakkan keadilan dan setelah mengkaji kete­rangan saksi-saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan, saya memutuskan untuk memberhentikan pendakwaan terhadapnya,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Mohamed Apandi menyatakan, jabatan itu dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pendakwaan secara adil dan saksama.
Menurut beliau, amalan mengkaji semula kes-kes jenayah yang telah dipertuduhkan di mahkamah akan diteruskan demi melaksanakan fungsi jabatan itu di bawah peruntukan undang-undang.
Ujar Mohamed Apandi, tin­dakan untuk memberhentikan pendakwaan di bawah Akta Hasutan 1948 pernah dilakukan dalam kes terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.
Kes terhadap Teresa berhubung video klip yang disiarkannya sempena Tahun Baharu Cina, ditarik balik selepas pendakwa raya menggugurkan tuduhan terhadapnya ketika kes itu dise­but di Mahkamah Sesyen pada 20 November tahun lalu.
Pada 14 Januari lalu, pihak pendakwaan dalam kes Azmi menutup kesnya selepas Mahkamah Sesyen selesai mendengar keterangan empat saksi yang terdiri daripada dua anggota polis dan dua wartawan dalam tempoh sehari.
Kes itu dibicarakan di Mahka­mah Sesyen selepas Mahkamah Tinggi pada 13 Januari lalu menolak permohonan Azmi, 46, agar perbicaraan didengar di Mahkamah Tinggi.
Azmi didakwa menyebut perkataan menghasut berhubung komennya dalam berita bertajuk Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told, di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah di ibu negara pada pukul 12.30 tengah hari, 15 Ogos 2014.
Pensyarah itu juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Kedua-dua pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Pada 6 Oktober tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan perbicaraan terhadap Azmi disegerakan di Mahkamah Sesyen selepas memutuskan Akta Hasutan 1948 yang merupakan undang-undang sebelum merdeka, masih sah dikuatkuasakan di sisi Perlembagaan.
Sehubungan itu, Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) akta tersebut yang disandarkan oleh pendakwa raya untuk mendakwa Azmi, masih terpakai di sisi undang-undang.