Search This Blog

Saturday, February 13, 2016

Pelajar maut kemalangan motosikal

SABTU, 13 FEBRUARI 2016 @ 10:30 AM

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


BAHAU: Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan di Kilometer 2, Jalan Bahau-Juasseh, berhampiran Taman Sornam, malam tadi.
Kejadian jam 9.10 malam itu menyebabkan Mohamad Amer Hasif Zulkefly, 17, dari Kampung Padang Lalang di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa yang menunggang sendirian dari arah Bahau untuk pulang ke rumahnya, dipercayai terlanggar sebuah kereta yang sedang membelok ke satu simpang.
Katanya, rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan, manakala kereta berkenaan terbabas sebelum melanggar sebuah lagi kereta yang diparkir di tepi jalan.
"Pemandu kereta berusia 59 tahun itu parah di muka, manakala isterinya berusia 51 tahun hanya cedera ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah," katanya.

Noorzainy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment