Kompas.com melaporkan mangsa dipercayai mengalami hipotermia atau kesejukan melampau sehingga tubuhnya gagal menerima tekanan suhu dingin semasa sedang tidur.
Mengikut keterangan saksi kepada pasukan penyelamat, mangsa mula mendaki gunung itu bersama 14 rakan-rakannya pada Sabtu lalu sekitar pukul 1.00 tengah hari. Pendakian dimulakan dari kem induk di dusun Tekelan, Desa Batur, Mukim Getasan, Daerah Semarang.
“Saya menemui mangsa pada Sabtu malam di Pos III. Kemudian kami mendaki bersama. Malah saya juga tidur satu khemah dengan mangsa sekitar pukul 10.00 malam. Keesokannya, sekitar pukul 5.30 pagi, saya kejutkan mangsa dari tidur tetapi saya dapati mangsa telah kaku, tidak bergerak,” kata Petrus Asbirianto, 28, dari Ciburial, Baranangsiang, Bogor.
Melihat Oki tidak bergerak, Petrus terus memanggil rakan-rakan lain, antaranya Nicolas Rahman Wijaya, 16.
“Kami berdua kemudiannya melaporkan kejadian itu ke kem induk. Setelah menerima laporan itu, sejumlah anggota penyelamat mula melakukan operasi membawa turun mayat Oki,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan penyelamat, Supriyo Tarzan, berkata, pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi itu terdiri daripada SAR Kompas dan Manggala Merbabu, SAR Bumi Serasi (Buser), SAR Pinos, BPBD Daerah Semarang, Basarnas Kantor SAR Semarang, serta Muspika Getasan.
“Trek ke tempat mangsa meninggal dunia amat curam. Malah, operasi turut terhalang kerana hujan lebat,” kata Supriyo.
Setelah menempuh trek mendaki yang sukar, pasukan penyelamat akhirnya berjaya membawa turun mayat Oki ke dusun Tekelan pada 7 Februari 2016, pukul 2.00 petang. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Rumah Sakit Umum Daerah Salatiga untuk dibedah siasat.
“Tidak ada tanda dikasari atau dipukul. Mangsa meninggal dunia dipercayai kerana kedinginan atau hipotermia,” ujar Ketua Polis Getasan, AKP Maryoto.