Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek yang berusia 26 hingga 47 tahun itu ditahan dalam empat serbuan berasingan di daerah ini dan Sandakan.
Barang yang dirampas semasa penahanan lima suspek terlibat rompakan
Barang yang dirampas semasa penahanan lima suspek terlibat rompakan kedai emas di Lahad Datu, Sabah, minggu lalu.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 10 malam pada 6 Februari lalu, 15 jam selepas rompakan itu dilakukan.
“Dalam tangkapan pertama itu, kita menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di Kampung Sapagaya, di sini.
“Esoknya, kita menahan dua lagi lelaki serta sebuah kenderaan jenis Proton Waja berwarna hitam dipercayai digunakan suspek,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hamzah memberitahu, pada Selasa lalu, pihaknya menahan seorang lagi lelaki berusia 40 tahun yang disyaki mengetahui rancangan rompakan itu di Kampung Tabanak, di sini.
Ujarnya, hasil soal siasat, beg yang digunakan suspek untuk meletakkan emas berjaya dirampas di dalam sebuah kereta di Kampung Binuang, di sini dipercayai disembunyikan.
“Kita turut menemukan sepucuk pistol yang disembunyikan di kawasan semak di Kampung Binuang manakala berhampiran senjata api itu terdapat satu karung berisi tukul besi, cermin mata hitam, sebilah parang serta sarung tangan yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah,” katanya.
Jelas Hamzah, siasatan seterusnya membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun pada pukul 4 pagi yang bersembunyi di Ladang Genting Bahagia, Jalan Jeroko Kinabatangan, di sini.
Beliau menambah, dengan tertangkapnya kesemua suspek dan rampasan barang rampasan itu, pihaknya percaya kes rompakan berkumpulan menggunakan senjata api berjaya diselesaikan dalam tempoh enam hari.