Search This Blog

Saturday, February 13, 2016

Jumpa tengkorak berikat dalam beg plastik

PUTRAJAYA – Seorang kontraktor tidak menyangka, bau busuk yang dihidu ketika membuat pemeriksaan laluan kabel utiliti, berakhir dengan penemuan tengkorak berikat dalam sebuah beg plastik berhampiran Lebuhraya Persiaran Utara, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa ditemui hanya berseluar pendek terikat dari leher hingga ke kaki dengan tali nilon berwarna merah.
pdrm

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan tengkorak itu kira-kira jam 11.30 pagi.
Pengadu yang berusia 22 tahun bekerja sebagai kontraktor syarikat telekomunikasi dikatakan ke kawasan semak berhampiran lebuhraya bagi membuat pemeriksaan laluan kabel.
Ketika melakukan tugasnya, pengadu memberitahu terhidu bau busuk dan cuba mencari arah bau tersebut sebelum menemui satu bungkusan plastik berwarna hitam dalam parit kecil.
Rosly berkata, pengadu menghubungi pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya selepas mendapati terdapat mayat manusia dalam bungkusan tersebut.
“Pengadu memberitahu dia ternampak rahang dan gigi mayat di dalam bungkusan plastik itu.
Bertindak atas laporan, sepasukan anggota polis forensik bergegas ke lokasi kejadian. Siasatan awal polis mengesahkan mayat adalah seorang lelaki dewasa yang ditemui dalam keadaan tidak berbaju.
Mayat yang hanya tinggal tengkorak ditemui  berseluar pendek dalam kedudukan bersila terikat dengan tali nilon hingga ke bahagian leher.
“Identiti mangsa belum dapat dikenalpasti berikutan kulit badan dan kepala mangsa hanya tinggal tengkorak,” katanya.
Tiada dokumen pengenalan diri dan barang berkaitan ditemui bersama mangsa, hanya, bungkusan plastik hitam, seluar pendek yang digunakan dan tali nilon yang digunakan untuk mengikat mangsa ditemui di lokasi kejadian.
Siasatan masih diteruskan, kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat
.

No comments:

Post a Comment