SYED AMEN
SYED AMEN
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, punca sebenar pembunuhan pengusaha nasi kandar itu masih dalam siasatan polis.
Sehubungan itu, tegas beliau, pengguna media sosial diminta berhenti menyebarkan spekulasi berhubung perkara berkenaan kerana tindakan menyebarkan maklumat yang tidak sahih hanya akan mendatangkan kegusaran di kalangan orang awam.
“Berdasarkan pemantauan di laman sosial, ada pihak tertentu yang mendakwa kononnya pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlibat kerana Syed Amen pernah bertindak memaki hamun anggota penguat kuasa itu tahun lalu malahan ada yang mendakwa pembunuhan semalam bermotifkan politik.
“Ada juga yang mendakwa mangsa terlibat dalam pere­butan hak restoran Nasi Kandar Line Clear sehingga menyebabkan beliau dibunuh dan saya ingin tegaskan di sini bahawa semua dakwaan berkenaan tidak benar,” katanya di sini hari ini.
Syed Amen, 46, yang juga pemilik Kedai Nasi Kandar Beyond dan pusat mencuci kereta maut selepas terkena lima das tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat dalam kejadian di Jalan Datuk Keramat kira-kira pukul 3.30 pagi semalam.
Kejadian berkenaan menjadi viral di laman sosial kerana sebelum ini tersebar videonya mengamuk di pejabat JPJ yang mana kes ber­kenaan kini sedang dibicarakan di mahkamah.
Selain itu, mangsa juga turut dikenali sebagai aktivis masyarakat yang lantang mempertahankan isu kampung Melayu di negeri ini.
Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan, Mior Faridalatrash berkata, berdasarkan semakan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian, polis telah mengenal pasti dua lelaki berusia sekitar 20-an yang dipercayai terlibat.
Katanya, dua suspek yang berkulit cerah itu dipercayai rakyat tempatan dan polis kini sedang memburu mereka.