Search This Blog

Saturday, February 13, 2016

Dalang jadikan rumah markas

Petaling Jaya: Sepasang suami isteri warga emas diberkas pihak Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas dikesan menjadi dalang sindiket pemindahan tong gas petroleum cecair (LPG) subsidi.
Suspek dibantu anak lelaki berusia 30-an itu dikesan menjadikan rumah mereka di Jalan SS2 di sini, sebagai markas melakukan kegiatan haram itu sejak beberapa bulan lalu.
Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar anggota dan pegawai KPDNKK Selangor jam 9.30 pagi semalam, hasil risikan dilakukan sejak dua minggu lalu.
Ketua Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub berkata, pihaknya berjaya merampas 195 unit silinder tong LPG subsidi di rumah berkenaan.
Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati bahagian hadapan rumah terbabit dijadikan tempat menyimpan silinder tong LPG pelbagai saiz.
“Siasatan awal mendapati berlaku kegiatan pemindahan gas subsidi menggunakan wayar paip ke 195 unit silinder tong LPG membabitkan saiz 12 kilogram (Kg), 14 kg dan 50 kg.
“Ketika serbuan dilakukan, pihak kami menahan pemilik rumah iatu sepasang suami isteri berusia 68 dan 77 tahun bersama anak lelaki mereka.
“Siasatan juga mendapati suspek lelaki berusia 30-an itu mempunyai lesen menyimpan barang kawalan tetapi bukan di kediaman terbabit. Mereka kemudian ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui semalam.
Abdul Rosik berkata, pihaknya turut merampas tong LPG dan peralatan digunakan untuk kegiatan pemindahan gas berkenaan bersama satu lori tiga tan dianggarkan berjumlah RM45,000.
“Kes disiasat mengikut peraturan 12A Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melakukan pemindahan gas tanpa kebenaran dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 menyimpan barang kawalan ditempat tidak dilesenkan. Sabit kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1 juta atau tiga tahun penjara,” katanya.
Menurut Abdul Rosik, kejayaan terbabit adalah kali kedua dalam tempoh sebulan selepas KPDNKK Selangor merampas 153 tong gas kapasiti 14 kg dan 50 kg di sebuah premis di kawasan perindustrian Petaling Jaya pada 21 Januari lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 6:25 AM


ABDUL Rosik memeriksa tong LPG di rumah suspek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114664#sthash.RCOwLP5J.dpuf

No comments:

Post a Comment