Search This Blog

Saturday, February 13, 2016

Bukan rezeki

Rompin: Nasib malang menimpa seorang ibu tunggal di Kampung Sarang Tiong, Tanjung Gemok di sini, apabila rumahnya hangus dijilat api ketika dia mengutip kerang yang terdampar di Pantai Mempisang, petang kelmarin.
FOZIAH mencari barang berharga dan membersihkan sisa rumahnya yang terbakar.
Kejadian jam 6.55 petang itu berlaku ketika Bashah@Foziah Yahya, 41, bersama empat anaknya berusia antara dua hingga 19 tahun berada di Pantai Mempisang yang menjadi tumpuan ratusan penduduk mengutip hidupan laut berkenaan.
Menurutnya, insiden itu menyebabkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menumpang sementara di rumah kakaknya yang terletak berdekatan.
“Lebih sedih rumah yang didiami lapan bulan lalu itu dibina hasil ihsan seorang penduduk yang mengizinkan saya tinggal di situ sejak berpindah dari Kota Tinggi, selepas kematian suami dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu,” katanya.
Ketika ditemui semalam, Bashah berkata, dia tidak mengetahui kejadian itu sehingga pulang ke rumah sebaik selesai mengutip kerang di pantai.
“Ketika dalam perjalanan pulang saya terdengar bunyi siren jentera bomba namun tidak menyangka rumah sendiri pula yang terbakar sehinggalah nampak orang kampung dan anggota bomba sibuk memadamkan api yang sedang marak.
“Kebakaran disedari anak saudara yang sedang bermain bola sepak di halaman rumah apabila ternampak kepulan asap dan memaklumkan bapanya. Walaupun penduduk kampung cuba memecahkan pintu untuk menyelamatkan barangan berharga, namun usaha itu gagal kerana api marak dengan pantas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Penolong Penguasa Bomba Mohd Adni Ibrahim berkata, dua jentera bersama 14 anggota dari balai Rompin dan Endau dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati api sedang marak dan mengambil masa 21 minit memadamkan api serta mengawal keadaan sepenuhnya.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Rompin, Khairul Anuar Ahmad Nadzer berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, bantuan segera disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam Negeri Pahang (MAINP) kepada keluarga itu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 6:22 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114662#sthash.uyekt5XO.dpuf

No comments:

Post a Comment