13 Februari 2016 12:05 AM
LHOKSEUMAWE, Aceh – Banjir yang melanda daerah Aceh Utara sejak Ahad lalu turut membawa limpahan rezeki kepada pengusaha rakit yang menawarkan perkhidmatan membawa harta benda penduduk ke tempat yang lebih selamat.
Daripada tinjauan Kompas.com Selasa lalu, terdapat dua buah rakit disediakan pengusaha rakit dari Desa Rayeuk Pange, mukim Pirak Timu di Aceh Utara.
Penduduk menyeberang kawasan banjir menggunakan rakit di Desa Rayeuk Pange , mukim Pirak Timu, Aceh Utara, baru-baru ini. |
Menariknya, rakit buluh itu yang hanya terdapat pada musim banjir tidak digerakkan menggunakan dayung sebaliknya ditarik menggunakan tenaga tiga orang lelaki dewasa.
“Caj dikenakan untuk membawa sebuah motosikal adalah sebanyak 15,000 rupiah (RM4.60) manakala upah bagi membawa penduduk dan harta benda mereka adalah sebanyak 10,000 rupiah (RM3) seorang,’’ kata Teuku Faisal Razi, seorang warga Pirak Timu.
Selain menjadi pilihan utama penduduk untuk ke tempat selamat, lokasi banjir di Pirak Timu turut menjadi tumpuan penduduk yang melihat operasi pengusaha rakit.
Ini kerana, setiap kali pekerja rakit terjatuh atau tergelincir ke dalam air, pengunjung akan mentertawakan aksi tersebut.
Desa Rayeuk Pange kerap kali terendam banjir selepas air Sungai Keureuto melimpah setiap kali musim hujan.
“Kami di kampung ini sudah berpuluh tahun berdepan masalah banjir. Tidak ada usaha serius pihak pemerintah mengatasi masalah ini,’’ kata seorang penumpang, Muhammad.
No comments:
Post a Comment