Dalam serbuan pukul 10 malam itu, polis turut merampas 10 peket dan 27 tiub straw mengandungi syabu, selaras senapang patah bersama satu kelongsong mengandungi 11 butir peluru jenis .22 mm, sebilah keris dan senjata buku lima.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner S. Dev Kumar berkata, kesemua barang rampasan ditemukan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang dinaiki suspek.
Beliau berkata, dua anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) telah terserempak dengan tiga lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan operasi rondaan jenayah.
“Ketiga-tiga suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan semasa berada dalam 4WD di sebuah rumah tidak bernombor di Simpang Uma Belor.
“Anggota polis terbabit kemudian bertindak menjalankan pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan dinaiki yang membawa kepada penemuan dadah serta senjata berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Dev Kumar, siasatan lanjut mendapati seorang suspek berusia 36 tahun merupakan rakyat tempatan berasal dari Baram, manakala dua lagi warga Indonesia masing-masing berusia 40 dan 32 tahun.
Ujarnya, kumpulan pengedar dadah terbabit dipercayai mengedar bahan terlarang itu kepada para penagih di kawasan pedalaman di sini.
Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sedang membuat siasatan lanjut terhadap senjata dan peluru yang dirampas.
“Syabas diucapkan kepada dua anggota MPV dari Belaga atas kejayaan mereka menangkap tiga suspek terbabit.
“Kes tersebut disiasat di bawah Akta Senjata 1960, Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” ujarnya.