Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Izhar Abu Talib berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 23 kawasan berisiko tinggi dikenal pasti di negeri ini antaranya di Kulai, Tampoi, Skudai dan Kampung Majidee, Johor Bahru.
“Berdasarkan rekod AADK, jumlah penagih di negeri ini juga me­nunjukkan peningkatan daripada 3,701 pada 2014 menjadi 4,751 orang pada tahun lalu.
“Mengikut statistik itu juga, Pulau Pinang merekodkan jumlah penagih tertinggi iaitu seramai 7,272 orang diikuti Perak (6,086), Kedah (5,636) dan Selangor (5,300),” kata­nya selepas pelancaran Jelajah AADK Ekspedisi Membanteras Dadah, di sini semalam.
Izhar memberitahu, kebanyakan penagih adalah remaja seawal usia 13 hingga 18 tahun serta golongan dewasa yang mencecah usia 50 tahun.
“Program Jelajah AADK ke seluruh negara ini bertujuan bertemu pucuk pimpinan negeri bagi berkongsi maklumat mengenai kawasan berisiko tinggi di negeri berkenaan serta perancangan AADK dalam tempoh lima tahun yang akan datang,” katanya.
Dalam pelan strategik AADK pada tahun ini, pihaknya akan memperkasakan penglibatan komuniti, ahli kariah masjid, rukun tetangga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan belia di pe­ringkat akar umbi bagi membanteras masalah penagihan dadah.
“Perancangan strategik turut memberi tumpuan terhadap pendidikan sejak prasekolah tentang penyalahgunaan dadah. Mulai Jun ini, AADK akan menjalankan program intelek asuhan rohani (Pintar) bagi murid-murid tahun empat hingga enam,” katanya.