Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Azizan Ariffin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 22.15 peratus berbanding 2014 dan meningkat secara konsisten sejak 2010 selepas agensi itu membuat perangkaan berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Faktor utama peningkatan itu berpunca daripada latar belakang keluarga yang terdiri daripada ibu bapa sendiri yang sudah terjebak dengan najis dadah selain anak-anak yang terbiar mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya.
“Tahun lalu sahaja seramai 15,128 penagih terdiri daripada golongan belia antara umur 19 hingga 39 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah AADK peringkat negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah AADK negeri, Abdul Ghani Abdul Rahman.
Menurut Azizan, apa yang membimbangkan adalah terdapat trend peningkatan golongan penagih muda terdiri daripada usia 13 tahun ke bawah yang mana pada tahun lalu seramai 557 orang dikesan terlibat.
“Penagih yang berdaftar seramai 364,000 di seluruh negara dan kebiasaannya di belakang setiap penagih, ada empat lagi kawan yang bersama-sama menagih.
“Penyalahgunaan dadah dilihat semakin serius melihat kepada angka penagih yang semakin meningkat setiap tahun dan usaha-usaha pembanterasan perlu dilakukan membabitkan semua pihak,” jelasnya.
Tambah Azizan, program kesedaran perlu diperbanyakkan dan lebih kerap terutama di peringkat sekolah kerana kebimbangan terhadap penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.
“Pencegahan dan pembanterasan perlu dilakukan membabitkan segenap aspek, tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
“Keluarga dan masyarakat perlu lebih prihatin berhubung dengan masalah itu dengan menitikberatkan nilai-nilai kekeluargaan bermula dari rumah,” jelasnya.