Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, anggota polis berkenaan yang bertugas di Balai Sri Muda terserempak dengan suspek sedang menolak motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, anggota tersebut kemudian menahan suspek berumur 29 tahun itu dan mendapati motosikal yang ditolaknya ialah kenderaan curi.
“Hasil soal siasat suspek kemudiannya mendedahkan satu lokasi terpencil di Padang Jawa iaitu lokasi tempat dia menyimpan hasil kenderaan curi sekali gus membawa kepada penemuan dua buah kereta jenis Proton Saga dan Nissan Sunny serta sebuah lori Daihatsu.
“Kenderaan-kenderaan itu dipercayai dicuri di sekitar Klang dan kesemuanya dianggarkan bernilai kira-kira RM70,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien memberitahu, pihaknya masih lagi menyiasat butiran terperinci tentang suspek dan kegiatan jenayahnya kerana dia enggan bekerjasama.
“Kita percaya suspek mempunyai rakan subahat lain dan operasi memburu mereka kini giat dijalankan.
Dalam perkembangan berasingan, Shafien berkata, pihaknya turut berjaya menumpaskan kegiatan samun pelanggan bank dengan tertangkapnya dua lelaki warga Indonesia di Mount Kiara pada hujung bulan lalu.
Katanya, suspek yang berumur 30-an ditahan di hadapan sebuah bank pada 22 Disember lalu di lokasi berkenaan dipercayai sedang menunggu mangsa.
“Sehari sebelum kejadian, kedua-dua suspek dipercayai telah menyamun sepasang suami isteri yang merupakan penyelia sebuah koperasi yang baharu mengeluarkan wang di sebuah bank di Seksyen 14 dekat sini.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa kerugian lebih RM12,000 selepas beg tangan berisi wang koperasi itu yang diletakkan di atas kerusi kedai makan dirampas oleh suspek yang kemudiannya melarikan diri menaiki kereta Perodua Myvi,” ujarnya.