Sindiket yang beroperasi di dua banglo mewah di Damansara itu difahamkan menyasarkan mangsa dari dua negara terbabit selepas mereka mengupah puluhan rakyat negara berkenaan untuk ‘berkhidmat’ dengan mereka.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, mang­sa dari China dan Taiwan senang ditipu kerana anggota sindiket yang bertanggungjawab adalah warganegara tersebut.
Menurutnya, sindiket itu akan mengimport pekerja dari China serta Taiwan sebelum menempatkan semua mereka di dalam dua banglo mewah di Damansara dan mengerahkan mereka menghubungi mangsa secara rawak untuk melakukan penipuan.
“Antara modus operandi yang biasa dilakukan adalah menyamar pegawai bank dan menghubungi mangsa untuk memberitahu tentang sekatan akaun bank. Mereka kemudian dirujuk kepada seorang penyamar polis yang akan mengarahkan mereka memindahkan wang simpanan ke dalam satu akaun asing sebelum akaun bank terbabit dibekukan.
“Mangsa yang panik apabila dihubungi pihak polis akan segera melakukan pemindahan wang dan akan menyedari tertipu selepas merujuk perkara itu kepada pihak bank atau polis sebenar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tajudin menyatakan, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada risikan dan kerjasama pihak berkuasa China serta Taiwan, satu operasi dinamakan Op Pelican dijalankan awal pagi kelmarin.
Katanya, dalam operasi itu, dua serbuan berasingan di banglo mewah di Damansara Height dan Bukit Damansara telah dilakukan dan seramai 37 orang termasuk dua wanita daripada Taiwan telah ditangkap.
“Semua tangkapan berusia 21 hingga 41 tahun itu dipercayai dibawa masuk secara tidak sah oleh sindiket yang menawarkan pekerjaan baik di negara ini. Bagaimanapun apabila tiba di negara ini mereka dikurung di dalam banglo terbabit dan dikerahkan untuk menjadi operator penipuan.
“Banglo di sekitar ibu negara itu sengaja dijadikan pusat operasi bagi mengaburi kegiatan sindiket sekali gus mengelakkan dihidu oleh pihak berkuasa,” katanya.
Ditanya tentang jumlah mangsa, Tajudin mengakui ribuan mangsa mungkin telah diperdaya berdasarkan penemuan ribuan senarai nama dan nombor telefon ketika serbuan dilakukan.
“Sindiket Macau Scam ini bukan sesuatu yang baharu dan berdasarkan keadaan semasa dengan jumlah senarai nama yang ditemukan, kita percaya kerugian mungkin mencecah jutaan ringgit,” ujarnya.
Dalam operasi yang berakhir pukul 6 pagi itu, hanya empat suspek sahaja yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Polis juga melakukan pelbagai rampasan antaranya 47 telefon, 51 modem, 18 telefon bimbit dan pelbagai dokumen berkaitan,” katanya.
Beliau memberitahu, kes ber­kenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana me­nipu serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1956.