ARTIKEL BERKAITAN
KINABATANGAN - Seorang wanita dan anak tiri mati ditikam oleh bekas suaminya di perumahan Ladang Sawit Permodalan 1, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A. Rahmat Sahak berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5.20 pagi dan dipercayai berpunca selepas lelaki itu gagal memujuk bekas isterinya itu untuk rujuk semula.
Katanya berikutan kejadian itu, polis kini memburu lelaki itu dikenali sebagai Bakri Bin Rakku, 40, yang menghilangkan diri selepas kejadian itu.
Menurutnya mangsa, Azura Binti Shima, 39, mati ketika menerima rawatan di klinik ladang itu, manakala anak tirinya Basri Bin Jamaluddin, 24, mati di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa ditikam oleh lelaki itu ketika mereka sedang tidur di rumah pekerja itu, katanya.
A. Rahmat berkata saksi kejadian itu adalah anak lelaki mereka yang berusia 14 tahun yang telah terjaga dan melihat bapanya menikam ibunya dengan senjata tajam dengan satu tikaman.
Katanya bapanya itu kemudian pergi ke sebuah bilik lagi lalu menikam Basri sebelum melarikan diri.
Menurut laporan daripada anak mangsa, bapanya itu telah berjumpa dengan ibunya semalam di rumah pekerja itu untuk rujuk semula tetapi ibunya tidak mahu kerana mereka sering bergaduh dan dia dipukul.
Polis meminta sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut atau mengetahui lokasi lelaki itu agar menghubungi Asisten Superintendan Yumpil Garai di IPD Kinabatangan, di talian 08-9561890. - Bernama