Search This Blog

Saturday, January 23, 2016

Tragedi malang menjelang Thaipusam




sebahagian peserta rombongan berjalan kaki dari Seremban ke Batu Caves duduk melihat salah seorang mayat rakan mereka yang maut selepas dirempuh sebuah kereta BMW di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Desa Petaling, Kuala Lumpur semalam. Gambar kecil merupakan kereta BMW suspek yang ditinggalkan di Lebuh Raya Kesas.


KUALA LUMPUR – Perjalanan enam penganut Hindu, yang menyertai rombongan berjalan kaki dari Senawang, Negeri Sembilan ke Batu Caves untuk sambutan Thaipusam berakhir apabila tiga daripada mereka maut selepas dirempuh sebuah kereta jenis BMW dalam satu kejadian pagi semalam.
Nahas yang berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Desa Petaling dekat sini itu turut mengakibatkan tiga orang termasuk seorang wanita cedera parah.
Mangsa yang maut, K. Saravanan, 45; S. Papa, 63; dan C. Kannan, 50, manakala rakan mereka yang cedera parah dikenali sebagai Megaswaran, 45; D. Darrshen, 18, dan seorang lagi masih belum dapat dikenal pasti identitinya.
Menceritakan nahas itu, seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Annama, 31, berkata, dia bersama lima peserta rombongan berjalan di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan berada pada jarak 50 meter di belakang enam orang yang terbabit dalam nahas itu.
Ujarnya, pada jarak 50 meter itu dia terdengar bunyi rempuhan sebelum ternampak sesuatu berterbangan di udara.
“Saya dan rakan-rakan lain terus berlari dan alangkah terkejutnya kami bila mendapati lima rakan kami sudah terba­ring di atas jalan dan seorang pemuda mengerang kesakitan di dalam longkang,” ujarnya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) semalam.
Menurut Annama, dia bersama rombongan itu memulakan perjalanan pada Khamis lalu dan dijangka tiba di Batu Caves pada pukul 9 malam semalam.
Bagaimanapun, perjalanan yang tinggal kira-kira 24 kilometer ke Batu Caves itu katanya, tidak diteruskan sebalik­nya terhenti di situ gara-gara insiden tersebut.
Mereka merupakan antara 45 penganut Hindu yang mahu menunaikan niat dengan berjalan kaki bermula Khamis lalu dari beberapa buah Kuil di Se­remban menuju ke Batu Caves sempena pera­yaan Thaipusam, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain mengesahkan seorang jurujual berusia 25 tahun telah ditahan selepas membuat laporan berhubung kemala­ngan terbabit pada pukul 7.20 malam.
“Pemandu kereta BMW tersebut ditahan selepas membuat laporan di Balai Polis Trafik Jalan Bandar bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Menurut Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S. Markandan, selepas kemalangan pemandu kereta BMW berkenaan meninggalkan kereta lorong kecemasan di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) kira-kira 15 kilometer dari tempat kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3y79rIDE1 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment