TELOK KEMANG -  Misteri sebuah kereta jenis Honda Hybrid yang diparkir di tempat letak kereta di hadapan sebuah hotel bajet di Pantai 3 Telok Kemang sejak tiga hari lalu, terungkai apabila seorang pekerja SWM Environment Sdn Bhd menemui mayat lelaki di dalamnya.
Sinar Harian difahamkan, kejadian itu disedari pekerja berkenaan yang sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan pantai tersebut.
Pekerja berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia menyedari kereta itu diparkir di kawasan itu sejak tiga hari lalu dalam keadaan reverse parking.
“Tadi (semalam) saya tengok kereta tu masih ada lagi, dan saya beranikan diri untuk dekat dan tengok ke dalam kereta melalui tingkap.
“Terperanjat bila nampak ada orang di dalam kereta tu dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu. Saya terus beritahu rakan dan maklumkan kepada petugas hotel berdekatan supaya hubungi polis,” katanya yang kali pertama berdepan dengan situasi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, si mati adalah seorang lelaki berbangsa Cina berusia 25 tahun berdasarkan pengenalan diri ditemui bersamanya, lelaki berkenaan berasal dari Subang Jaya dan merupakan seorang ejen insurans.
Menurutnya, polis menerima laporan kejadian pada jam 7.48 pagi semalam dan sebaik tiba di lokasi mendapati enjin kenderaan itu masih hidup.
“Bagaimanapun enjin kereta itu berhenti dalam lima minit kemudian, mungkin disebabkan kehabisan minyak dan pintu terkunci dari dalam.
“Polis mendapatkan bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang untuk membuka pintu kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Baharudin berkata, berdasarkan siasatan, polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku ke atas mangsa.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh hampir tiga hari dan polis juga telah menghubungi abang mangsa untuk proses pengecaman,” katany
a