JOHOR BAHRU - Seorang tekong bersama tiga awak-awak warga asing ditahan kerana menangkap ikan di perairan negara, kelmarin.
Semua lelaki warga Indonesia berusia antara 23 hingga 30 tahun itu ditahan di kedudukan 2.98 batu  nautika dari Pulau Kukup, Pontian.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, penahanan warga asing itu dibuat sekitar jam 12.30 tengah hari.
“Kita buat rampasan sebuah sampan jenis kayu panjang, dua enjin sangkut, sebuah enjin robot, 12 gulung tali, ikan bercampur seberat 30 kilogram, sebuah bubu, sebuah tong ikan besar, dua tong ikan kecil, seunit sistem pengesan global (GPS) dan seunit ‘echo sounder’.
“Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana penangkapan ikan oleh nelayan asing di dalam perairan Malaysia,” katanya di sini, semalam.
Menceritakan kejadian, Paul berkata, ketika membawa lima anggota dalam penugasan Op Gelora Bil 01/2016 Siri 27/2016, Botronda PAR 6 mengesan sebuah sampan jenis kayu sedang menarik bubu.
Katanya, PAR 6 merapati bot terbabit dan menghubungi petugas menara Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Tanjung Piai, dan disahkan ia di dalam perairan negara.
“Pemeriksaan dijalankan mendapati empat lelaki dewasa warga Indonesia tiada dokumen perjalanan yang sah dan bot tersebut dari negara jiran.
“Mereka bersama barang kes dibawa balik ke Pangkalan PPM Wilayah 2 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tekong bersama awak-awak warga asing terbabit kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perikanan Johor untuk tindakan susulan.