KUALA LUMPUR -  Seorang suspek kes cubaan samun cedera ditembak selepas bertindak menyerang anggota polis menggunakan parang dalam satu kejadian berhampiran sebuah premis menjual bunga, di Taman Ehsan Kepong, di sini, semalam.
Dalam kejadian 11 pagi itu, suspek lelaki berusia 38, bersama-sama dengan tiga rakannya cuba menyamun seorang wanita berhampiran premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata tiga anggota unit Ronda‎ Cegah Jenayah Balai Polis Desa Jaya yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu, bertindak pantas menghalang cubaan samun itu serta cuba menahan suspek terbabit.
Bagaimanapun, katanya seorang daripada suspek terbabit bertindak menyerang anggota polis dengan menggunakan parang.
"Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri, suspek cedera di lengan kanan dan berjaya ditahan manakala tiga lagi suspek  melarikan diri," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, polis kini giat memburu tiga suspek yang melarikan diri itu.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan.  - Bernama