GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli di Pos Bihai, dekat sini, dikejutkan dengan kebakaran stesen solar hibrid di Sekolah Kebangsaan Bihai secara tiba-tiba, petang kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, saksi awal yang melihat asap tebal dari stesen tersebut bergegas untuk memadamkan kebakaran, namun terpaksa melarikan diri kerana bimbang berlaku letupan.
Penduduk berhampiran stesen berkenaan turut bertindak meninggalkan kediaman mereka kerana bimbang percikan api akan menyebabkan kebakaran.
Tok Batin Pos Bihai, Alang Segan berkata, ramai penduduk cuba memadamkan api daripada merebak, namun terpaksa meninggalkan kawasan berkenaan selepas berlaku beberapa letupan kecil.
“Kami turut mengawasi kawasan sekitar kebakaran sebab bimbang ada kanak-kanak menghampirinya sementara menunggu pasukan bomba sampai.
"Sebaik anggota bomba tiba, api makin reda dan berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.25 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota menggunakan pacuan empat roda berikutan jalan ke Pos Bihai berselut.
“Kami mengambil masa 20 minit untuk dipadamkan sepenuhnya menggunakan floting pam,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.