BATU PAHAT - Taktik dua pengedar dadah menyembunyikan dadah dalam bekas kotak minuman gagal mengaburi polis apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman elit yang berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, serbuan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat itu hasil intipan berterusan setelah mendapat maklumat daripada awam.
“Sebaik terima laporan kegiatan yang dilakukan suspek, polis terus lakukan intipan dan berjaya menahan mereka bersama 15 paket dadah jenis heroin.
“Dadah yang dimiliki suspek dipercayai dijual kepada individu tertentu atau pelanggan tetapnya sahaja,” katanya.
Beliau berkata, dadah tersebut jika berjaya dipasarkan nilainya mampu mencecah sehingga RM7,000.
“Suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak pertengahan tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek berusia 36 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu positif dadah.
Daripada siasatan lanjut yang dilakukan terhadap suspek, salah seorang daripadanya mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau, dan seorang lagi satu rekod yang kesemuanya berkaitan kes penyalahgunaan dadah.
“Jika didapati bersalah, kedua-dua suspek yang kes mereka disiasat di bawah Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952 ini boleh dikenakan hukuman mati,” katanya
.