KUALA LUMPUR 7 Jan. - Meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi membanteras penipuan gores dan menang, namun kegiatan itu dilihat terus menjadi-jadi apabila sebanyak RM16.4 juta kerugian dicatatkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 524 kes dicatatkan berbanding 286 kes pada 2014 yang membabitkan kerugian hampir RM7 juta.
Jumlah kes dan kerugian tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 100 peratus sekali gus menunjukkan kegiatan penipuan ini tidak terhenti walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak terjebak.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kerugian paling tinggi iaitu sebanyak RM11.4 juta dengan 284 kes diikuti Selangor sebanyak 51 kes dengan RM1.9 juta kerugian sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, turut mencatatkan jumlah kerugian yang tinggi adalah Perak iaitu RM376,886 daripada 17 kes yang dilaporkan.
“Pulau Pinang pula merekodkan jumlah kerugian sebanyak RM328,080 dengan 14 kes diikuti Johor (16) dan Pahang (10), masing-masing dengan kerugian sebanyak RM205,360 dan RM176,277.
“Kegiatan tersebut mula aktif semula sejak tiga tahun kebelakangan ini dengan menawarkan hadiah lumayan untuk dijadikan umpan bagi memperdayakan mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Roslan memberitahu, peningkatan kes penipuan tersebut disebabkan sikap tamak dan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai penipuan skim gores dan menang.
“Sindiket tersebut licik dalam memperdayakan mangsa dengan menjanjikan barangan mewah seperti kereta namun itu hanyalah sebahagian daripada modus operandi untuk mencari mangsa.
“Kebanyakan mangsa hanya menyedari mereka ditipu setelah barang yang dijanjikan berbeza dengan apa yang mereka tawarkan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment