Search This Blog

Tuesday, January 12, 2016

'Sekolah lalok' ponteng tumpuan pelajar diroboh

Ampang: Sebuah rumah usang di Lembah Keramat di sini, dikesan menjadi ‘sekolah lalok’ kepada kumpulan pelajar di daerah ini menagih dadah serta menghidu gam secara beramai-ramai.
Rumah kosong itu akhirnya dirobohkan pihak berkuasa semalam, selepas sekian lama menjadi lokasi pelajar sekolah belajar menagih dadah serta ponteng sekolah.
Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Hasnina Ibrahim berkata, tindakan itu diambil susulan kes tangkapan pelajar sekolah menerusi operasi ‘Ops Target’ sepanjang tahun lalu.
Katanya, rumah usang berkenaan dikesan sering dijadikan tempat penagihan dadah dan aktiviti tidak sihat pelajar termasuk tempat bersembunyi bagi pelajar ponteng sekolah.
“Tindakan ini diambil selepas beberapa siri perbincangan dengan pihak sekolah, pejabat tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memutuskan untuk merobohkan rumah usang itu,” katanya.
Beliau yakin tindakan itu mampu mengelak dan membasmi jenayah serta penyalahgunaan dadah di kalangan remaja sekolah.
Menurutnya, kawasan itu juga dicadang untuk dibangunkan sebagai lokasi aktiviti kemasyarakatan termasuk kebun komuniti setempat.
Sehubungan itu, Hasnina menegaskan, pihaknya akan meneruskan usaha seumpama itu dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan penagihan dadah terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurutnya, orang ramai atau mana-mana pihak sekolah yang berdepan masalah sama boleh membantu menyalurkan maklumat untuk tindakan segera.
“Memang wujud kes ketagihan dadah syabu dan ganja dalam kalangan pelajar sekolah, namun jumlahnya kini kian berkurangan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 7:01 AM


RUMAH usang di Lembah Keramat yang dikesan menjadi lokasi penagihan dadah dirobohkan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/106545#sthash.FJvLdLaw.dpuf

No comments:

Post a Comment