Search This Blog

Tuesday, January 12, 2016

Sean Penn didakwa ejen CIA


AFP - EL CHAPO dibawa ke sebuah helikopter di sebuah lapangan terbang di Mexico pada Jumaat lalu selepas penangkapannya di bandar Los Mochis, negeri Sinaloa, Mexico.


WASHINGTON – Aktor Hollywood, Sean Penn (gambar kecil) didakwa bekerja untuk Agensi Perisikan Pusat (CIA) susulan pertemuannya dengan raja dadah Mexico, Joaquin El Chapo Guzman.
Dakwaan Penn, 55, menjadi ejen CIA menjadi topik hangat di laman sosial Twitter.
Pelakon itu mendedahkan bahawa dia pernah mewawancara El Chapo dengan alasan untuk menyelami kisah hidupnya.
Namun, sumber keselamatan AS memaklumkan pertemuan tersebut digunakan untuk menjejaki dan menangkap ketua kartel dadah Sinaloa itu.
Beberapa jam selepas El Chapo ditahan pasukan marin Mexico pada Ahad lalu, majalah Amerika Syarikat (AS), Rolling Stone menyiarkan sebuah artikel mengandungi 10,000 patah perkataan berhubung pertemuan sensasi itu.
Walaupun Penn bertegas dia cuba menyembunyikan pertemuan mereka daripada diketahui pihak berkuasa AS dan Mexico, artikel itu menimbulkan spekulasi meluas bahawa Penn telah digunakan oleh CIA untuk menjejaki El Chapo.
Sebelum ini, CIA pernah menggunakan beberapa penulis skrip untuk menghasilkan sebuah filem, Argo bagi membebaskan sejumlah tebusan AS di Iran pada 1979.
Filem itu dijadikan alasan untuk membawa masuk ejen CIA ke Iran semasa krisis tebusan tersebut.
Ejen CIA, Tony Mendez mengetuai sebuah pasukan untuk menyelamatkan enam diplomat AS dari Teheran dengan menyamar sebagai kru perfileman Hollywood.
Argo menjadi bukti bahawa kerjasama antara CIA dan Hollywood sudah lama terjalin.
Mengulas spekulasi Penn bekerja untuk agensi perisikan AS itu, dua pakar mengenai hubungan CIA-Hollywood, Dr. Matthew Alford dan Tom Secker memberitahu akhbar Daily Mail kelmarin bahawa kemungkinan itu tidak mengejutkan.
“Malah, perisik-perisik sudah lama menggunakan Hollywood sebagai gelanggang mereka, daripada penerbit filem Pretty Woman, Arnon Milchan yang mengakui mencuri maklumat sulit senjata nuklear AS untuk agensi perisikan Israel, Mossad sehinggalah kepada Frederick Forsyth yang membantu agensi MI6.” kata mereka.
Dalam pada itu, pertemuan antara Penn dan El Chapo berlaku di tengah hutan di Mexico pada Oktober 2015. Ia diaturkan oleh Penn, aktres Mexico, Kate del Castillo dan seorang orang tengah dengan kebenaran kartel Sinaloa.
Dalam wawancara itu, El Chapo mengaku menjadi pengedar dadah terbesar di dunia. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3wyPNzzR0 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment