BAGAN SERAI - Sebuah rumah kosong di Jalan Siakap, di sini musnah dalam kebakaran, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira 3 petang itu, mengejutkan penduduk di kawasan berhampiran memandangkan rumah itu sudah lama ditinggalkan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Rodzi Che Pah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.25 petang dan bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran.
“Dua jentera membabitkan lebih 10 pegawai dan anggota sampai ke lokasi kejadian 10 minit kemudian.
“Sebaik kami sampai, api sudah marak berikutan struktur rumah yang diperbuat daripada papan dan memusnahkan 95 peratus daripadanya. Kami mengambil masa 30 minit untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya di sini, semalam.
Rodzi berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan ketika kejadian rumah terbabit tidak berpenghuni.
“Punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.