BANGI - Seorang pengusaha restoran di sini kerugian hampir RM500,000 selepas premis perniagaannya musnah dijilat api hari ini.
Kejadian kebakaran pada kira-kira 1.50 petang di Restoran Rimba Klasik, Seksyen 10 di Bandar Baru Bangi itu bagaimanpun tidak melibatkan kehilangan nyawa.
Ketua staff restoran Samsaniar Osman, 50, berkata kejadian itu disedari oleh seorang daripada enam pekerja yang mendengar bunyi seakan-akan letupan kecil ketika sedang berehat di sebuah bilik di premis itu.
Beliau berkata, pekerja itu bertindak mengejutkan rakan-rakannya yang sedang tidur sebelum bergegas keluar dan ternampak api yang sedang marak di satu ruang di tengah-tengah restoran.
"Kerana cemas dan panik melihat api yang menjulang mereka tidak sempat menyelamatkan apa-apa kecuali diri mereka sendiri.
"Biarpun keseluruhan restoran musnah tapi saya bersyukur semua pekerja yang berehat sebelum memulakan kerja pada pukul 4 petang selamat," katanya ketika ditemui di restoran itu kemudian.
Samsaniar berkata, kejadian itu merupakan yang pertama sejak restoran yang menyediakan makanan barat dan masakan Thai itu beroperasi 10 tahun lalu.
Walaupun masih terkejut dengan kejadian tersebut, ibu kepada dua orang anak itu tetap yakin perniagaan dengan tarikan utama makanan barat dan ikan siakap tiga rasa itu dapat dibangunkan semula.
"Semasa mendapat panggilan mengenai kebakaran saya berada di rumah di Sungai Merab tetapi tidak sanggup datang ke restoran kerana fobia melihat api," katanya yang hanya datang selepas bomba selesai memadamkan kebakaran.
Sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba Bandar Baru Bangi digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 1.59 petang.
Mereka turut dibantu anggota dari Balai Bomba Serdang dan bomba sukarela dari Bangi. - Bernam
a