Search This Blog

Friday, January 1, 2016

Raja puak Afrika Selatan akhirnya ke penjara

KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 11:12 PM

 RAJA Buyelekhaya Dalindyebo mula menjalani hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan membakar, menculik dan melakukan serangan ke atas mangsanya. - Foto AP

 JOHANNESBURG: Seorang raja tradisi Afrika Selatan daripada kumpulan etnik Thembu yang seangkatan dengan Nelson Mandela, mula menjalani hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan membakar, menculik dan melakukan serangan ke atas mangsanya, selepas sekian lama berjuang mengelak daripada dihukum. Raja Buyelekhaya Dalindyebo, 51, melapor diri ke pusat pemulihan Mthatha di wilayah Eastern Cape hari ini, selepas gagal dalam cubaan ke-11 untuk mengelak dihukum dengan memohon perbicaraan semula atau pengampunan presiden. Pada tahun 2009, raja itu disabitkan atas kesalahan membunuh, membakar dan menyerang dilakukan lebih dua dekad lalu. Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun pada tahun 2009, namun Oktober lalu, mahkamah agung menggugurkan tuduhan membunuh dan mengurangkan hukumannya kepada penjara 12 tahun berikutan rayuan. Minggu ini dia memohon lanjutan jaminan ke atasnya, namun seorang hakim mahkamah tinggi di Mthatha, bandar terbesar berhampiran tempat asal Mandela di Qunu, menolak permohonan itu. "Kami mengesahkan, Raja Buyelekhaya Dalindyebo melapor diri kepada ketua pusat pemulihan Mthatha," kata kementerian kehakiman dalam satu kenyataan. Dia dijangka menjalani hukuman di penjara Wellington di luar Mthatha. Raja terbabit yang mengaku mengambil candu, didapati bersalah membakar rumah yang menempatkan penyewa namun enggan berpindah. Dia juga disabitkan menyerang secara terbuka tiga lelaki muda yang sudah teruk dibelasah orang suruhannya selain menculik seorang wanita dan anak mangsanya yang dianggap pengkhianat. Mahkamah agung memutuskan raja itu memerintah dengan kejam dan "kelakuannya lebih buruk kerana mangsanya terdiri daripada golongan miskin luar bandar." Selain itu, mahkamah juga menuduhnya "menghalang" tindakan undang-undang kerana menukar peguamnya 11 kali, menyebabkan 34 penangguhan kesnya. -Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/110004

No comments:

Post a Comment