JENGKA - Bahagian Siasatan dan Jenayah Daerah Maran berjaya menahan seramai 39 pendatang tanpa izin (Pati) berkait kesalahan di bawah Akta Imigresen di lima kawasan tanah rancangan Felda di sini.
Operasi bersepadu khas itu dijalankan berhubung kes samun di Felda Jengka 8, 21, 9, 13 dan 15 yang berlaku sejak awal Januari lalu.
Lima kes samun berkenaan dipercayai membabitkan suspek warga asing bersenjatakan parang di Felda Jengka 8 pada 4 Januari, Jengka 8 (7 Januari), Jengka 9 (17 Januari), Jengka 13 (19 Januari) dan Jengka 15 (21 Januari).
Kes terbaharu di Jengka 15 melibatkan kecederaan apabila sepasang suami isteri luka di tangan dan dahi selepas berlaku pergelutan ketika suspek  cuba mengikat tangan mangsa.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, operasi bersepadu khas dengan kekuatan 26 anggota termasuk pegawai itu akan diteruskan bagi memburu suspek berkaitan kes samun di kawasan terbabit.
“Ia merupakan langkah pencegahan jenayah terutama bagi kes yang berkaitan suspek warga asing. Polis memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berhubung perkara ini.
“Kami minta orang ramai tidak buat sebarang spekulasi atau sebarkan khabar angin yang boleh mencetuskan suasana panik kerana siasatan sedang giat dijalankan,”  katanya
.