Search This Blog

Tuesday, January 12, 2016

Petani Sungai Acheh rugi RM1.6 juta



MAHMUD (dua dari kanan) dan Syed Shaari (kanan) bersama beberapa orang petani meninjau keadaan sawah padi yang menghadapi masalah tanah jerlus di Sungai Star Besar, Sungai Acheh, Nibong Tebal semalam.


NIBONG TEBAL – Kira-kira 200 petani di beberapa kawasan di Sungai Acheh di sini mengalami kerugian lebih RM1.6 juta kerana hasil tanaman padi mereka tidak dapat dituai akibat tanah jerlus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Aceh Datuk Mahmud Zakaria berkata, kawasan yang menghadapi masalah tanah jerlus itu ialah Batas Baru, Batas Menteri, Batas Pinang B, Sungai Air Hitam, Batu 3, Sungai Tongkang dan Sungai Udang.
“Kira-kira 200 hektar kawasan sawah di sini terjejas akibat kejadian tanah jerlus yang serius menyebabkan jentera tidak dapat masuk bagi menuai padi yang telah matang.
“Musim lalu (2015) ada berlaku tanah jerlus tetapi tidaklah seteruk ini,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai masalah tanah jerlus di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Acheh di sini semalam.
Beliau berkata, kejadian tanah jerlus itu dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca tidak menentu dengan taburan hujan yang tinggi pada musim menuai menyebabkan air dalam petak sawah tidak kering sepenuhnya.
Mahmud berkata, apabila padi yang telah matang tidak dapat dituai pada waktu dijadualkan, tangkainya akan patah hingga menyebabkan padi rebah dan rosak.
Sementara itu, Pegawai Kemajuan Negeri Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Syed Shaari Syed Abdullah berkata, pihaknya te­lah merekodkan maklumat daripada petani dan akan bertindak segera bagi mengatasi masalah tanah jerlus itu.
Beliau berkata, antara pe­rancangan jangka pendek yang diambil pihak Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang untuk mengatasi masalah itu ialah dengan membina parit tepi dan menambah baik parit buang bagi memudahkan penyaliran air keluar dari petak sawah.
Dalam pada itu, seorang petani, Abdul Hamid Saidin, 57, mendakwa, dia mengalami kerugian lebih RM14,000 apabila padinya di Kampung Batas Pinang yang telah matang gagal dituai kerana bendangnya tidak dapat dimasuki jentera memotong padi.
“Saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli tanah merah untuk ditambak ke dalam kawasan sawah bagi menguatkan struktur tanah dan membolehkan mesin padi masuk,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3wyR1Q2R6 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment