Search This Blog

Saturday, January 23, 2016

Peniaga rentung bersama bayi


Selepas selamatkan ibu mentua dan isteri
23 Januari 2016 12:56 AM




PULAU PINANG 22 Jan. – Usaha seorang lelaki menyelamatkan seluruh ahli keluarganya dalam kejadian kebakaran di Balik Pulau, di sini pagi ini berakhir dengan tragedi selepas dia dan anak perempuannya yang berumur tiga bulan rentung.
Dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar kira-kira pukul 2.15 pagi itu, Mohd. Nazri Zainal Abidin, 29, pada mulanya dikatakan sudah hampir berjaya menyelamatkan diri namun terperangkap bersama bayinya, Damia Ulayyah Salsabila.
Mohd. Nazri hanya sempat menolak isterinya, Roshina Abd. Latif, 24, dan ibu mentuanya, Rosnah Noh, 60-an keluar daripada rumah yang sedang marak terbakar.
Namun, dia yang sedang mendukung Damia Ulayyah Salsabila gagal keluar dan terperangkap di dalam kebakaran sebelum ditemukan rentung di pintu hadapan rumahnya manakala mayat anaknya ditemukan di atas papan tidak jauh daripadanya.
Menceritakan pengalaman ngeri itu, Roshina berkata, dia menyedari terdapat api dari bahagian dapur rumah mereka ketika bangun untuk membancuh susu anaknya sebelum bergegas mengejutkan suaminya.
Ketika itu juga, katanya, dia melihat ibunya, Rosnah yang turut bergegas menaiki tingkat atas untuk memaklumkan kepada mereka mengenai kebakaran itu sebelum keempat-empat mereka bergegas turun ke bahagian bawah rumah.
“Saya dan ibu turun dahulu diikuti suami yang mendukung Damia di belakang kami dengan berpegangan bahu dalam keadaan asap yang memenuhi rumah.
“Sebaik sahaja tiba di depan pintu utama rumah di tingkat bawah, suami pantas menolak saya dan ibu keluar tetapi dia mungkin terpaksa berpatah balik bagi mengelak Damia daripada terkena api yang sedang marak,” ujarnya.
Roshina sekeluarga tinggal di rumah jenis separa kayu dua tingkat itu bersama ibunya manakala neneknya, Che Gayah Md. Rawi, 76, tinggal di kediaman sebelah yang turut musnah terbakar.
Turut berada di dalam rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu ialah tiga anak saudara Roshina yang dikatakan berusia sembilan, 10 dan 11 tahun.
Bagaimanapun, nenek dan anak saudara Roshina berjaya keluar dari rumah mereka sebelum api marak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Lai Fah Hin berkata, kedua-dua mayat yang rentung dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat manakala isteri mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama.
Menurutnya, kematian dua beranak itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian sedang dilakukan oleh pasukan Forensik Bomba.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/peniaga-rentung-bersama-bayi-1.182456#sthash.o8JFcIrI.dpuf

No comments:

Post a Comment