GEORGETOWN - Seorang pelajar jurusan komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) maut selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat universiti berkenaan malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Muhammad Zaquan Mohd Anuar Hisham, 21, disahkan meninggal di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Jambul menghala ke Masjid Negeri.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, pemandu kereta berkenaan yang berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan awal dan maklumat dari saksi kejadian mendapati mangsa tidak berhenti ketika lampu isyarat bertukar merah.
"Bagaimanapun siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi mengambil keterangan lanjut saksi bebas untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya.
Mior Faridalatrash berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
.