Pasangan warga Indonesia itu melarikan diri sebaik sahaja menyedari ladang di Kota Seriemas, Bandar Kota Sri Emas di sini diser­bu anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, menyebabkan kanak-kanak yang dikenali sebagai ‘Tika’ itu hanya mampu menangis.
Bagaimanapun, ibu kanak-kanak perempuan itu berjaya ditangkap tidak lama kemudian ketika bersembunyi di kawasan semak namun bapanya meloloskan diri.
Kanak-kanak itu dan ibunya adalah antara 25 PATI dari Indonesia yang berjaya ditahan dalam operasi di rumah kongsi tersebut.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Hapdzan Husaini berkata, selain rumah kongsi, pihaknya turut menggempur beberapa premis di Pangsapuri Taman Semarak di sini.
Ujarnya, seramai 225 warga asing diperiksa dan 53 daripada mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam operasi selama lima jam itu.
“PATI yang ditahan terdiri daripada 40 lelaki dan 10 wanita serta tiga kanak-kanak perempuan. Tujuh daripada mereka merupakan warganegara Bangladesh.
“Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana disyaki memasuki negara ini tanpa pas sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya selepas mengetuai operasi itu di sini hari ini.
Operasi itu turut melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Hapdzan memberitahu, kesemua PATI dihantar ke Depot Tahanan Imigresen, Lenggeng dekat sini untuk siasatan lanjut.