Search This Blog

Saturday, January 23, 2016

Operasi bersepadu di pasar borong

Operasi bersepadu di pasar borong

23 JANUARI 2016

 KUALA LUMPUR – Polis bersama 10 agensi kerajaan melancarkan Operasi Bersepadu Total Enforcement susulan kejadian tembak dan bunuh di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Asisten Komisioner R Munusamy berkata, dalam operasi yang bermula kelmarin, seramai 53 individu ditahan dimana 30 daripada jumlah itu merupakan warga asing
Menurutnya, semakan mendapati kesemua yang ditahan terlibat pelbagai kesalahan termasuk trafik, dadah selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Penahan ini juga hasil pemeriksaan seramai 202 individu di sekitar pasar borong yang mana sebahagian besar merupakan pekerja di situ.
“Selain itu, 20 lelaki tempatan dan dua warga asing ditahan kerana memiliki dadah dan polis merampas 5.54 gram dadah jenis heroin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, semalam.
Beliau berkata, lima lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan kongsi gelap turut ditahan.
Operasi yang bermula kelmarin dan akan berakhir Selasa depan disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Pengangkutan Awan dan Darat (SPAD), Jabatan Kastam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pesuruhjaya Tinggi Bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Mengulas mengenai operasi tersebut, Munusamy berkata, polis memandang serius insiden jenayah di kawasan terbabit.
Susulan itu, pihak berkuasa melakukan pemantauan bagi mengelak kejadian sama di kawasan pasar borong itu berulang.
Katanya, sebelum ini dalam Ops Cegah Jenayah, polis menahan 123 orang dalam serbuan pada 14 Januari lalu hingga kelmarin.
“Dalam operasi berkenaan, polis berjaya menahan 10 lelaki dan mengenal pasti lapan daripada mereka yang terlibat dalam kes tembakan rambang dan 83 warga Myanmar ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tiga daripadanya dipercayai terlibat dalam kes bunuh di kawasan pasar itu” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, polis kini menjalankan rondaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dua lokasi di Sentul dalam Ops Ledak bermula semalam.

No comments:

Post a Comment