Pasukan penyiasat mengumpulkan bukti di lokasi kejadian nahas pesawat MH17 di Ukraine pada Julai tahun lalu. AGENSI
THE HAGUE 4 Jan. – Pendakwa raya Belanda, semalam mengumumkan akan meneliti secara serius dakwaan sekumpulan wartawan komuniti mengenai usaha mereka mengenal pasti askar-askar Rusia yang terlibat dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai tahun lalu.
Dakwaan tersebut yang dibuat oleh kumpulan wartawan penyiasat komuniti berpangkalan di Britain, menggelar diri mereka Bellingcat yang pakar dalam menyiasat data-data di media sosial atau sumber terbuka lain.
Menurut jurucakap Pejabat Pendakwa Belanda, Wim de Bruin, pihaknya telah menerima laporan mengenai dakwaan tersebut pada minggu lalu dan akan meneliti kesahihannya sebelum digunakan dalam siasatan kes tragedi pesawat tersebut.
“Kami menerima laporan itu selepas Krismas dan akan menelitinya secara serius untuk menentukan sama ada boleh digunakan bagi siasatan kes jenayah tersebut atau tidak,” kata de Bruin.
Pada tahun lalu, Bellingcat melaporkan pelancar peluru berpandu darat ke udara BUK ditemui pada 17 Julai lalu di kawasan dikuasai pemberontak pro-Rusia.
Peluru berpandu tersebut dikatakan datang daripada sebuah konvoi tentera pasukan antipesawat ke-53 Rusia, sebuah unit yang berpangkalan di Kursk tetapi dihantar untuk operasi berhampiran sempadan Ukraine. – AFP
No comments:
Post a Comment