COLOGNE - JERMAN. Canselor Jerman Angela Merkel menyokong keputusan untuk menguatkuasakan undang-undang yang membenarkan pihak berkuasa mengusir pelarian jika mereka melakukan kesalahan.
Pelarian yang dijatuhi hukuman penjara sementara juga akan diarah meninggalkan Jerman.
"Jika undang-undang tidak memadai, maka ia mesti diubah," kata Merkel yang berikrar melindungi rakyat Jerman serta pelarian yang tidak bersalah.
Perkara itu diumumkan sehari selepas Merkel menyokong pindaan terhadap undang-undang yang memudahkan pengusiran pelarian yang melakukan jenayah, setelah pihak berkuasa menyatakan ramai antara mereka dituduh mencetuskan keganasan semasa sambutan tahun baharu adalah pencari suaka.
Media di negara itu melaporkan berpuluh wanita di Cologne diganggu secara seksual pada malam tahun baharu oleh sekumpulan lelaki yang digambarkan oleh saksi sebagai lelaki Arab dan Afrika Utara.
Sehingga Jumaat, polis Cologne menerima lebih 200 aduan jenayah, kebanyakannya kesalahan seksual termasuk dua kes rogol.
Di bawah undang-undang sekarang, pemohon suaka akan dihantar pulang ke negara asal jika mereka dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga tahun dan jika nyawa mereka tidak terancam di negara kelahiran mereka, lapor Reuters
.