JERANTUT - Mayat seorang lelaki warga Nepal ditemukan dengan kesan jerut di leher di kebun pisang di Kampung Sungai Lekok, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Azid Ismail berkata mangsa berusia lingkungan 20-an itu dipercayai mati dalam tempoh kurang 24 jam sebelum mayatnya ditemukan orang awam pada 8 pagi.
Katanya, identiti mangsa yang dilaporkan baru empat bulan bekerja di situ masih belum diketahui kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.
"Pemeriksaan di rumah kongsi di kebun berkenaan yang didiami mangsa bersama dua rakan, didapati berselerak, disyaki berpunca daripada pergaduhan.
"Kedua-dua rakan mengsa yang juga warga Nepal, bagaimanapun telah melarikan diri dan polis sedang mengesan mereka bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mayat dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernam
a