KUANTAN - Seorang pekerja pasar raya warga Myanmar ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke celah batu di Teluk Chempedak ketika ‘berselfie’ bersama beberapa rakan lain.
Lelaki berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Lawin itu dikatakan menghabiskan masa cuti hujung minggu bersama rakan-rakanya dan mengambil peluang berselfie di pusat peranginan itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam itu mangsa dikatakan memanjat batu berkenaan untuk merakam gambar.
“Bagaimanapun, mangsa tergelincir kerana keadaan batu licin dan terjatuh. Kesemua rakannya panik dan tidak sempat menyelamatkan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia  (JPAM) selepas beberapa rakan mendapatkan bantuan anggota yang bertugas di pantai itu.
Katanya, mayat mangsa ditemui anggota JPAM di lokasi sama pada jam 6.30 petang.
“Mayat dibawa Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dijalankan dan polis juga mengesahkan kejadian itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah,” katanya
.