Dalam serbuan bermula pada pukul 3.20 petang hingga 12.20 tengah malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman serta dibantu JSJN Johor itu, enam lelaki warga tempatan turut ditahan.
Dadah berkenaan dipercayai untuk dihantar ke Singapura dan Indonesia.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, makmal yang dilengkapi peralatan memproses pil ekstasi dipercayai dari China itu didalangi enam suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Sri Pelangi, polis menemukan makmal tersebut yang dipercayai sudah beroperasi selama empat bulan dan menahan dua lelaki selain merampas pelbagai barangan termasuk dadah.
“Dalam serbuan itu, kita menemukan dadah dipercayai serbuk ekstasi seberat 58 kilogram dan syabu (satu kilogram), 5,290 disyaki pil ekstasi, dua kilogram serbuk dan sejumlah botol berisi bahan kimia serta peralatan memproses pil ekstasi.
“Nilai rampasan dadah itu dianggarkan RM8.1 juta. Kita percaya jika dadah itu terlepas, ia mampu dibekalkan kepada kira-kira 190,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) sJohor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd.
Mohd. Mokhtar berkata, polis turut merampas empat laras senapang angin, dua pucuk pistol angin dan dua butir peluru.
Susulan itu, katanya, empat suspek lain ditahan, masing-masing di Taman Sutera, Century Garden, Permas Jaya dan Taman Daya.
Dalam operasi tersebut, polis turut menyita pelbagai harta bernilai RM390,140 termasuk dua buah motosikal Ducati dan Kawasaki, tiga kereta Mazda, Proton Suprima S dan Proton Iswara serta wang tunai berjumlah RM5,140.
“Dua daripada enam suspek itu mempunyai rekod jenayah dan lima daripada mereka juga didapati positif dadah,” katanya sambil memberitahu kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu hingga 15 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mohd. Mokhtar memberitahu, sepanjang 1 hingga 7 Januari lalu, polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 17 kilogram dan 14,270 pil bernilai RM690,000 serta menahan 3,917 rakyat tempatan dan 164 warga asing dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara.